Pages

May 16, 2010

Pilih Yang Mana?

Kesilapan adalah lumrah kehidupan.Setiap anak adam pasti akan melakukan kesalahan.Allah memang mencipta manusia berpasangan dengan silap dan salah.Tiada seorang manusia pun yang tidak melakukan kesalahan hatta nabipun pernah ditegur Allah seperti dalam surah ‘abasa.Yang membezakannya Rasulullah ma’sum,terjaga dari segala dosa.kesilapannya hanya untuk mengingatkan sahabat-sahabat,manusia dan makhluk seluruhnya bahawa baginda masih seorang manusia dan bukannya malaikat.kesalahan baginda juga adalah petunjuk dan rahmat dari Allah kepada hambanya supaya mereka tahu untuk bertindak dengan tepat ketika melakukan satu-satu kesilapan.

Kesilapan selalu diikuti dengan penyesalan.Ada penyesalan yang membawa kebaikan bilamana ia diikuti dengan muhasabah,post-mortem,mencari punca penyebab kesilapan,cadangan pembaikan,dan langkah mengatasinya bila berhadapan dengan situasi dan kondisi yang sama di masa hadapan,di samping pada masa yang sama mencari solusi yang terbaik (paling kurang risiko) untuk menyelesaikan kesalahan yang telah di buat.Bersikaplah berani untuk menghadapi akibat dari kesilapan yang dibuat.

Kesilapan yang saya fokuskan di sini adalah kesilapan membuat pilihan.Setiap saat,setiap minit dan setiap masa kita semua dihadapkan dengan pilihan untuk membuat keputusan.Akal,pengalaman,iman,malaikat,syaitan dan nafsu adalah antara faktor-faktor yang mempengaruhi setiap keputusan kita.Dari sebesar-sebesar perkara sehinggalah sekecil-sekecil perkara.
Memilih jalan Allah dengan mengikuti arahannya dan meninggalkan larangannya adalah keputusan.Menyembah nafsu dan syaitan dengan melakukan dosa samada kecil atau besar juga adalah keputusan.perbezaannya amat besar iaitu satunya membawa ke tempat yang nikmatnya tidak dapat dibayangkan manusia manakala lawannya adalah azab yang tidak terperi sakitnya.
Bilamana kita membuat satu-satu kesilapan, kita sentiasa menyesal dan berharap masa dapat diputar kembali supaya kita mempunyai peluang untuk membetulkan dan membaikinya.Kita akan mengatakan bahawa jika kita diberi peluang untuk kembali kepada masa lalu pasti kita akan menggembleng seluruh tenaga untuk mengelakkan kesalahan yang kita lakukan.Kita juga mungkin akan mengatakan bahawa kita tidak akan melakukan kesalahan tersebut jika kita dapat melihat dan mengetahui masa hadapan.Namun benarkah,jika kita diberi peluang kedua kita akan membaiki kesilapan kita.Mengapa Allah tidak membenarkan permohonan orang kafir untuk bertaubat dan kembali ke dunia untuk melakukan amal kebaikan bilamana mereka telah yakin akan akibat dan azab yang pedih hasil pilihan mereka yang silap.kenyataannya Allah menghukum mereka yang silap membuat keputusan dan sudah tidak ada peluang kadua bagi mereka yang telah mengetahui akibat pilihan mereka yang silap.Kenapa begitu?Allah telah mengetahui bahawa mereka ini bukan tidak mengetahui kesan perbuatan atau pilihan mereka,bahkan mereka mengetahui kerana telah ada orang yang memperingati dan memberikan amaran namun mereka tetap memilih racun daripada madu,menghargai kaca dari intan,mengagumi gangsa berbanding emas.
Cuba perhatikan firman Allah dalam surah as-Sajdah:


10. Dan mereka (yang kafir) itu berkata: "Adakah apabila Kami telah hilang lenyap Dalam tanah, Kami pula akan hidup semula Dalam bentuk kejadian Yang baharu? betulkah demikian? " (Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan Dengan Tuhannya.
11. Katakanlah (Wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil maut Yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)".
12. Dan (sungguh ngeri) sekiranya Engkau melihat ketika orang-orang Yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, Kami telah melihat dan mendengar Dengan sejelas-jelasnya (akan Segala Yang Kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah Kami ke dunia supaya Kami mengerjakan amal-amal Yang baik; Sesungguhnya Kami sekarang telah yakin".

13. Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): "Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang Dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka jahannam Dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)".

14. (lalu dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan Yang demikian) rasalah azab Yang kekal Dengan sebab apa Yang kamu telah kerjakan".

15. Sesungguhnya Yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang Yang apabila diberi peringatan dan pengajaran Dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah Dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. 

16. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka Dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta Dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa Yang Kami beri kepada mereka.

Banyak pengajaran yang kita boleh terokai dari surah ini iaitu :

1.Pembuat keputusan yang silap biasanya apabila diberi amaran akibat dan kesan dari satu-satu perbuatan(sebelum terjadi) , mereka mengambil mudah,tidak menimbangkannya,memperlekehkannya,tidak mempercayainya malah menyombongkan diri serta bersikap ego dan sombong,ada yang seolah-olah menggangap dirinya sudah mengetahui perkara tersebut.

2.Apabila kita ternampak kesan daripada perbuatan kita, maka kita mulai menyesal dengan penyesalan yang amat sangat namun kita sudah tidak diberi peluang kadua untuk memperbaikinya.

3.Biasanya bilamana kita melakukan kesalahan,kita akan mencari jalan atau helah untuk mengelakkan diri dari risiko kesalahan yang kita lakukan.Ada juga mereka yang menyesal kerana silap membuat keputusan sehingga sanggup menyalahkan orang lain bagi menyelamatkan diri mereka.Ada juga yang meminta peluang kedua.Namun sedikit saja yang mengakui perbuatan silap mereka kerana ego.

4.Allah telah memberi kita segala ilmu,maklumat,pengalaman,kebesaran-kebesaran dan nikmatnya namun kita tidak berusaha untuk memperolehi hidayat yang dengannya kita akan membuat pilihan yang tepat,maka kita telah menzalimi diri kita sendiri kerana mengambil mudah dengan urusan hidup kita samada perkara kecil ataupun besar.

5.Antara sebab lain gagal membuat keputusan dengan tepat adalah lalai atau cuai.Perkara ini biasanya berlaku kepada mereka yang tidak bersistem dalam kehidupan mereka,tidak berdisplin,cenderung melakukan perkara-perkara yang tidak ada motif dan faedah untuk mereka.Mereka juga tidak memahami maksud amanah dan tanggungjawab dalam erti kata yang sebenarnya.keselamatan mereka sendiri mereka abaikan,jadi siapa sebenarnya yang zalim???

6.Antara kriteria yang perlu ada bagi kita,jika mahu melakukan satu-satu keputusan dengan tepat ialah
Mencari ilmu,bersikap rendah diri dengan ilmu,suka menerima teguran membina,membuat pilihan berdasarkan akal(ilmu) dan iman,meyakininya dan membuat pengkajian terhadap keputusan yang akan dipilihnya.

Bersedia dan berusaha dengan segenap kemampuan yang ada untuk menjayakan pilihan yang diyakini benar dan diiringi perangcangan yang tersusun,di samping melakukan persediaan untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang mendatang(backup plan).
Mengharapkan petunjuk serta bertawakkal sepenuhnya kepada Allah setelah usaha dan ihtiar dan meyakini bahawa Allah sajalah yang mempunyai kuasa penentu.Tidak terlalu yakin(over confident) dan membuat backup plan serta berserah kepada Allah.

7.Kerja keras mestilah mendahului kejayaan.Tidak ada keajaiban.Berusaha akan berjaya.Malas pasti sengsara.Perasaan takut kepada Allah mestilah diseimbangkan dengan pengharapan kepadanya supaya kita tidak dikuasai penyakit putus asa dan malas berusaha.Suka memberi dan mengharapkan balasan dari Allah sahaja adalah antara contoh usaha-usaha yang dilakukan hasil dari pilihan yang tepat,

Perlu diingat kita tidak akan terlepas dari kesilapam membuat pilihan.Dan sebaik-sebaik mereka yang melakukan kesilapan adalah mereka yang bertaubat.Dan antara tanda yang tampak pada orang yang sudah bertaubat adalah dia tidak akan melakukan kesilapan yang sama.Jikalau seseorang mendakwa telah melakukan taubat namun masih jatuh dalam lubang yang sama maka mestilah ada yang tidak kena dengan taubatnya itu.

No comments:

Post a Comment