Pages

Apr 2, 2015

Khalifah fil ardh

  Antara tugasan utama manusia di dunia adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah Taala dan menjadi khalifah di muka bumi.Dua tugas ini merangkumi segala maksud penciptaan manusia di atas dunia.Ramai muslim memahami pengabdian diri kepada Allah, namun sebagai khalifah penulis merasakan kita perlu meluaskan skop pemahaman kita tentang tuntutan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

  Khalifah Allah di muka bumi ialah mereka yang membawa aspirasi memakmurkan muka bumi dan kehidupan manusia dan makhluk-makhluk lain.Islam telah diturunkan dari langit sebagai panduan dan tempat rujukan kepada manusia di bumi ini. Islam yang merangkumi cara hidup,sistem hidup,ritual ibadah dan mengatur tatacara aktiviti manusia seharian,mengajar nilai-nilai kebaikan serta membina sistem kepercayaan yang meyakinkan dalam diri manusia.

  Oleh kerana Islam perlu memimpin dunia supaya segala tugas islam dapat dijalankan.Namun kita sebagai muslim perlu ingat, pemimpin adalah berkaitan dengan kepercayaan dan keyakinan. Jika manusia percaya dan yakin dengan sistem islam mereka akan tunduk kecuali orang yang kafir dan ingkar.

  Dunia hari ini menyaksikan Negara-negara muslim berada di kedudukan yang terbawah dari sudut kemajuan dan kestabilan Negara dan ditinggalkan jauh oleh Negara-negara barat.Persoalan sekarang bagaimana kita mahu mengembalikan kekhalifahan islam dalam keadaan kita tidak mampu untuk membuktikan kita ada kualiti dan berkemampuan untuk menjadi pemimpin.

  Sebab utama Negara umat islam masih perlahan adalah kerana masih tidak bebas sepenuhnya dari cengkaman kuku besi pemerintahan yang zalim yang merompak harta kekayaan negara dengan mengunakan wasilah yang mengaburi mata rakyat.Sebab lain adalah kerana malas bekerja dan berkarya.Di sana ada statistik yang menyebut Negara muslim jauh ketinggalan dari sudut tempoh masa bekerja dibandingkan Negara barat dan non Muslim.

  Fenomena malas bekerja dan berfikir ini bukan sahaja melanda individu bahkan Negara secara keseluruhannya.Negara lebih suka berfikir bagaimana mahu mengutip cukai yang lebih tanpa usaha memajukan ekonomi rakyat.

 Islam amat menitikberatkan ekonomi Negara dan rakyat sebagai penduduk Negara.Antara mekanisma ekonomi yang penting adalah projek-projek pelaburan yang disusun dan dimulakan oleh Negara untuk dijalankan rakyat.Negara membantu dari sudut modal dan kepakaran dan rakyat dari sudut tenaga,masa dan idea. Allah memberi banyak isyarat dalam al-quran supaya manusia memanfaatkan semaksimum mungkin apa yang di atas muka bumi dengan syarat tidak membawa kepada kerosakan untuk memakmurkan bumi ini.




Dia lah Yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki Yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).