Pages

Apr 2, 2015

Khalifah fil ardh

  Antara tugasan utama manusia di dunia adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah Taala dan menjadi khalifah di muka bumi.Dua tugas ini merangkumi segala maksud penciptaan manusia di atas dunia.Ramai muslim memahami pengabdian diri kepada Allah, namun sebagai khalifah penulis merasakan kita perlu meluaskan skop pemahaman kita tentang tuntutan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

  Khalifah Allah di muka bumi ialah mereka yang membawa aspirasi memakmurkan muka bumi dan kehidupan manusia dan makhluk-makhluk lain.Islam telah diturunkan dari langit sebagai panduan dan tempat rujukan kepada manusia di bumi ini. Islam yang merangkumi cara hidup,sistem hidup,ritual ibadah dan mengatur tatacara aktiviti manusia seharian,mengajar nilai-nilai kebaikan serta membina sistem kepercayaan yang meyakinkan dalam diri manusia.

  Oleh kerana Islam perlu memimpin dunia supaya segala tugas islam dapat dijalankan.Namun kita sebagai muslim perlu ingat, pemimpin adalah berkaitan dengan kepercayaan dan keyakinan. Jika manusia percaya dan yakin dengan sistem islam mereka akan tunduk kecuali orang yang kafir dan ingkar.

  Dunia hari ini menyaksikan Negara-negara muslim berada di kedudukan yang terbawah dari sudut kemajuan dan kestabilan Negara dan ditinggalkan jauh oleh Negara-negara barat.Persoalan sekarang bagaimana kita mahu mengembalikan kekhalifahan islam dalam keadaan kita tidak mampu untuk membuktikan kita ada kualiti dan berkemampuan untuk menjadi pemimpin.

  Sebab utama Negara umat islam masih perlahan adalah kerana masih tidak bebas sepenuhnya dari cengkaman kuku besi pemerintahan yang zalim yang merompak harta kekayaan negara dengan mengunakan wasilah yang mengaburi mata rakyat.Sebab lain adalah kerana malas bekerja dan berkarya.Di sana ada statistik yang menyebut Negara muslim jauh ketinggalan dari sudut tempoh masa bekerja dibandingkan Negara barat dan non Muslim.

  Fenomena malas bekerja dan berfikir ini bukan sahaja melanda individu bahkan Negara secara keseluruhannya.Negara lebih suka berfikir bagaimana mahu mengutip cukai yang lebih tanpa usaha memajukan ekonomi rakyat.

 Islam amat menitikberatkan ekonomi Negara dan rakyat sebagai penduduk Negara.Antara mekanisma ekonomi yang penting adalah projek-projek pelaburan yang disusun dan dimulakan oleh Negara untuk dijalankan rakyat.Negara membantu dari sudut modal dan kepakaran dan rakyat dari sudut tenaga,masa dan idea. Allah memberi banyak isyarat dalam al-quran supaya manusia memanfaatkan semaksimum mungkin apa yang di atas muka bumi dengan syarat tidak membawa kepada kerosakan untuk memakmurkan bumi ini.




Dia lah Yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki Yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).

Mar 15, 2015

Fasa Dakwah : Ego Si Qiyadi & Jundi


Ego ialah sifat yang tidak dapat dipisahkan dari orang yang merasa dirinya lebih baik dari saingannya.Biasanya dia akan sentiasa membandingkan kelebihannya dangan kelebihan lawannya dan mengingat-ingat keburukan dan kekurangan lawannya.

Sifat ini amat bahaya kerana ia boleh merencatkan keimanan dan ukhuwwah antara muslim.Bahkan yang paling bahaya ia boleh menjadikan seseorang itu tidak rasional dalam membuat keputusan dan mengambil pendirian yang tepat.Banyak dari keputusan dan tindakannya dipengaruhi oleh rasa iri hati,tidak puas hati atau dengki kepada saingannya.

Hati-hatinya akan panas berkobar-kobar kerana marah sehinggakan mata hatinya buta dalam menilai kebenaran.Lebih-lebih lagi jika kebenaran bersama saingannya dan kesalahan di pihaknya.Ia akan menjadi barah jika tidak dicegah.

Oleh itu kita melihat dalam Islam, Sifat ego atau takabbur amat tercela.Bahkan Iblis dikeluarkan dari syurga kerana mempunyai sifat ini dan merasakan dirinya lebih baik daripada Adam.Walaupun pada pandangan mata kasarnya betul,tetapi disisi Allah taala berbeza kayu ukur kemuliaan makhluk.

Seorang jundi seharusnya berlapang dada dalam menerima nasihat dan teguran walaupun ia dilakukan dalam keadaan yang agak terbuka dan kasar serta agak tidak tepat teguran tersebut, ditambah pula dengan akhlak si penegur yang diragui.

Seorang yang berada dalam posisi qiyadah tidak seharusnya menghukum terlalu cepat dan jika perlu menegur,tegurlah dalam keadaan tertutup dan secara senyap.Seorang Qiyadi mestilah menunjukkan qudwah yang baik sebelum mengarahkan jundi melakukan hal yang sama.Nasihat yang baik kalau tidak kena caranya,kadang-kadang tidak berkesan juga.Oleh itu,kita perlu meraikan kedua-duanya.

  

Sistem Ekonomi berdasarkan Majmu' Rasail



1.Tiga tiang asas mana2 kerajaan: Kebertanggungjawaban kerajaan, Menghormati kehendak rakyat, menjaga perpaduan negara.

2.Masalah ekonomi satu2nya masalah yg menekan dan menyakitkan semua orang.Cth: krisis kekurangan roti iaitu makanan ruji di Mesir.

3.Kekayaan sumber alam Mesir cukup ketara.

4.Perbezaan jauh jarak antara si kaya dan si miskin.kelas pertengahan dan kelas rendah kedua-duanya kesusahan dan berada dalam kemelaratan.

5.Kerancuan ideologi ekonomi antara kapitalis dan sosiolis di Mesir.

6.Kaedah sistem ekonomi islam jika dijalankan akan menjadi solusi kepada keadaan yang runcing.

7.Memandang harta yang halal sebagai penopang kehidupan.Tidak ada anjuran untuk menjadi miskin.Ramai yang tidak faham pengertian zuhud.

 8.Mewajibkan setiap yang mampu untuk bekerja.Islam membenci pengganguran.Rezeki yg terbaik hasil dari tangan sendiri seperti nabi Daud (hadis)

kata Umar: Jangan ada seorang pun di antara kalian yang malas mencari rezeki dan hanya berdoa, "Ya Allah berilah aku rezeki". Padahal dia tahu bahawa langit tidak akan pernah menurunkan hujan emas ataupun perak."

 9.Mengekplorasi sumber kekayaan alam dan memanfaatkan segala bahan   terdapat di bumi.Dalam quran disebut berkenaan dengan perusahaan senjata besi oleh nabi Daud dan perusahaan bangunan dan kenderaan laju oleh nabi Sulaiman.

10.Mengharamkan sumber penghasilan yang kotor dan haram.
 
11.Memperkecilkan beza dan gap kekayaan antara rakyat.
 
12.Menggalakkan penggunaan kekayaan untuk kerja kebajikan.

13.Umar menetapkan cukai yang berat untuk anggur kerana merupakan makanan orang kaya dan menetapkan cukai yang kecil untuk kurma kerana merupakan makanan orang miskin.

14.Penyalahgunaan jabatan harus dibendung.Umar sentiasa memeriksa status kekayaan pegawai2nya dan menuntut mereka bersumpah.

15.Gaji Abu Bakar ditetapkan oleh  rakyat dan Abu Ubaidah menetapkan sebanyak 2500 dirham.Kemungkinan semasa dia menjadi pedagang, gajinya lebih banyak.

16.Antara cara untuk memperkukuhkan matawang negara adalah dengan memperbanyakkan perusahaan.

17.Menghapuskan praktik riba.Rasulullah saw : Ketahuilah sesungguhnya riba telah dihapuskan.Dan praktik riba pertama kali aku hapuskan adalah praktik riba pakcikku,Abbas bin Abdul Muthalib.Rusia mengharamkan riba.

18.Memperkasakan home industri. Setiap kelompok masyarakat mesti digalakkan untuk membuat perusahaan.Sabun,manisan,k raftangan,makanan dan sebagainya dan ia mesti dibantu kerajaan.

19.Hab menutup risalahnya dengan berkata: Wahai ketua2 kerajaan,ketua2 institusi,ketua2 organisasi segera selesaikan persoalan ini dengan cermat dan kembalilah pada sistem islam.Bukankan aku telah menyampaikan? Ya Allah saksikanlah...!!!

Majmu' Risalah Jilid 3

Mar 10, 2015

Perubahan Total

Allah Taala telah menurunkan syariahnya sebagai panduan dan juga undang-undang kepada manusia yang dilantik sebagai khalifah di atas muka bumi.Tujuannya agar segala keputusan dan tindakan yang diambil oleh manusia betul dan tepat.Ini penting untuk menjamin kemaslahatan di atas muka bumi ini.

Muslim adalah orang yang sepatutnya paling faham dengan syariah yang Allah turunkan di muka bumi.Tidak dinafikan ada juga non muslim yang lebih baik kefahamannya tentang islam dan lebih baik dari sudut pengamalannya walaupun kemungkinan mereka memperolehinya melalui jalan selain wahyu tetapi yang pasti ia tidak sempurna.

Selepas kejatuhan khalifah Utsmaniyyah pada tahun 1924 umat islam kebingungan bahkan sepatutnya dikatakan dunia kebingungan.Sistem sosialnya porak peranda,ekonominya hancur,politiknya tidak bebas,hak kemanusian dijajah dan dimanipulasi,sistem pendidikan masih terjajah dan islam menjadi ritual serta ketamadunan manusia runtuh.

Penulis tidak mahu berlebihan dalam mengungkapkan apa yang berlaku.Jika kita mahu menyalahkan konspirasi zionis dan barat dalam hal ini sepenuhnya,ia seolah-olah macam melepaskan tangan.Jika benar mereka yang bertanggungjawab di atas kemunduran umat islam seolah-olah kita terlalu lemah dan tidak mampu bangkit kembali walaupun setelah hampir 100 tahun kita dikalahkan sedangkan kita ada Allah,Quran dan Hadis sedangkan mereka tidak ada.

Jika mahu menyalahkan penjajahan barat ke atas dunia islam pada kurun ke 18 dan kurun 19 juga tidak adil sebenarnya kerana penjajahan tersebut sudah lama.Walaupun sudah lama kita merdeka namun pemikiran umat islam masih tidak merdeka sepenuhnya.Mentaliti masih sempit,wawasan yang terhad dan cita-cita yang rendah.Tidak ada daya saing dan lesu serta suka mengikut merupakan antara ciri-ciri mereka yang terjajah dan kita melihat ini yang berlaku,khasnya di Malaysia.

Oleh itu semua kita yang sedar perkara ini dan menyedari keadaan ini mestilah sedar bahawa tugas kita sebagai daie,khalifah dan reformer adalah mencetuskan dan membimbing perubahan secara total politik,ekonomi,sosial,pendidikan,perundangan,perbankan agar mengikut acuan yang ditunjukkan oleh islam.Usaha ini mestilah dilakukan secara serius melalui agensi-agensi kerajaan atau swasta atau individu atau badan kebajikan,yayasan-yayasan,koperasi-koperasi dan kumpulan-kumpulan tertentu.Usaha ini bermatlamatkan pengembalian syariah islam secara menyeluruh ke setiap aspek dalam kehidupan.

Dokongan untuk usaha islah ini sepatutnya difahami oleh semua lapisan masyarakat muslim dan selain muslim untuk manfaat bersama.Semua orang harus sedar bahawa hanya syariah islam yang diturunkan oleh pencipta manusia ini yang boleh menjadi solusi kepada segala cabaran dan halangan yang mendatang.

Ada dua langkah penting untuk mencapai tujuan ini:

Pertama:Melahirkan Mujtahid yang boleh berijtihad dalam bidang masing-masing dan berkemampuan menjawab segala permasalahan baru yang timbul.Ini penting supaya manusia yakin Syariah islam adalah solusi.Perlu diwujudkan pusat pengajian bebas yang matlamat besarnya untuk melahirkan mujtahid yang mampu memberikan fatwa yang tepat.Ia juga menjadi alternatif kepada sistem pendidikan kapitalis yang diamalkan sekarang yang dilihat hanya menjadi kilang dan tidak berupaya melahirkan ulama' mujtahid yang sebenarnya.

Kedua:Mengkomersialkan displin pengajian syariah islam dan memudahkan penyampaiannya sebatas yang diperlukan manusia dan tidak berlebih-lebihan sehingga keluar dari tujuan sebenar diturunkan.namun tidak terlalu memudahkan sehingga mengabaikan keilmiahannya.Tujuannya untuk memberi kesedaran kepada sasaran yang lebih besar dalam masyarakat supaya mendokong pelaksanaan syariah dalam segala aspek kehidupan.Oleh itu,wacana-wacana,bacaan laju,kuliah-kuliah bersistem dan berkitab perlu disemarakkan.Selain objektif kesedaran pelaksanaan syariah,kita juga mahu rakyat yang lebih banyak membaca dan dibimbing apa dan bagaimana mahu membaca.

Penulis mengajak pembaca untuk bersama atau bekejasama dengan penulis dalam usaha ini.Moga Allah kurnikan kita syahid.

Mar 9, 2015

Kamu ialah Umat yang terbaik


Allah Taala telah memberikan kemuliaan kepada manusia dengan pelbagai kemuliaan antaranya diberikan akal dan ditundukkan segala makhluk di muka bumi kepada mereka.Mereka diberikan ilmu dan kemampuam untuk berfikir dan menganalisa.Semua ini Allah berikan kepada manusia kerana mereka adalah khalifah Allah di muka bumi.

Jika dilihat dalam sejarah sebaik-baik manusia yang dipilih oleh Allah adalah muslim.Ini jelas kerana hanya muslim yang menyembah Allah sebagaimana yang sepatutnya.Oleh itu muslim pernah beberapa kali menjadi pemimpin dunia dan sebagai rujukan alam.

Namun, kedudukan ini tidak datang bergolek.Ini kerana Allah sudah menetapkan sunnahnya bahawa setiap sesuatu perlu mengikut sistemnya.Walaupun dia adalah muslim dia juga perlu patuh kepada sistem dan undang-undang alam.Oleh itu hari ini kita lihat non muslim memonopoli dunia dan mereka adalah pakar rujuk dan kiblat umat islam.Bahkan ada yang menyembah mereka dan menjadikan mereka tuhan tanpa disedari.

Usaha membebaskan pemikiran umat islam dan meyakinkan mereka,bahawa mereka adalah bangsa yang terbaik sewajibnya dilakukan secara terancang dan berkumpulan.Walaupun payah ini antara jihad yang wajib dijalankan.

Antara yang perlu dilakukan ialah mendedahkan umat dengan bacaan,kajian dan perbincangan topik-topik dan tema penting dalam meningkatkan wawasan pemikiran dan cita-cita.Mereka perlu tahu dan yakin mereka adalah pilihan dan ummat yang terbaik yang diutuskan Allah kepada dunia.

Usaha ini perlu dibudayakan dan perlu ditunjangi dengan dana yang berterusan dan mencukupi hasil dari jualan-jualan buku,baju,servis dan produk-produk orang muslim.

Satu tempat bernaung perlu diwujudkan bagi memberikan perlindungan dari sudut undang-undang dan legality.Proses ini mengambil masa yang lama dan bertahap.

Semakin ramai yang bebas pemikirannya dan mahu bekerjasama ataupun memhami aspirasi serta mahu ikut mendokong sudah dikira cukup baik bagi peringkat 5 tahun terawal.Objektif kita adalah dalam masa 20-25 tahun kita sudah mempunyai beberapa produk dan inovasi yang bermanfaat untuk masyarakat.Usaha ini panjang namun ia penting untuk mencorakkan masa depan umat islam khususnya di Malaysia.

Mar 6, 2015

Bagaimana mahu memulakan bisnes

Ehsan google

Perniagaan yang baru bermula biasanya tidak mempunyai kekuatan yang cukup dan tidak ada backup yang kuat.Antara elemen yang perlu diambil kira ialah

1.Modal
2.Pasaran
3.Networking
4.Ilmu dan Pengalaman
5.Kepakaran dan kecekapan
6.Kemahiran menguruskan risiko

Oleh itu mereka memerlukan aliran keluar masuk tunai yang lebih pantas dan seeloknya mengelakkan diri dari berhutang.Ramai yang bila berfikir mahu membuka bisnes mereka akan mula berfikir tentang modal yang besar. Pada pendapat penulis saiz modal perlu berkembang seiring dengan elemen-elemen lain dalam perniagaan.Antaranya ilmu,pasaran,jaringan dan lain-lain sebagaimana yang disebutkan diatas.

Pada kesempatan yang lain penulis akan berkongsi setiap satu daripada elemen-elemen diatas.

Oct 27, 2014

Nota Usul JarhWa Ta'dil Ust Umar Muhammad Noor



1.Antara kitab penting asas:Usul Jarh Wa Ta'dil:Nuruddin Itr,Ar-Raf'u wa Takmil Fi alJarh Wa Ta'dil:allaknawi,Risalah Al-Jarh WaTa'dil lilQosim,alKifayah Fi Ilmi Riwayah lilkhotib Al-Baghdadi.

2.Ilmu Jarh Wa Ta'dil adalah amanah yang besar kerana ia melibatkan Hadis.Oleh itu,Ali b.Madini ketika ditanya tentang status ayahnya,walaupun mulanya enggan menjawab kerana beradab dengan ayahnya,namun setelah didesak,dia memberitahu kepada penanya ayahnya dhoif.

3.Antara syarat al-Jarih (pengkritik) ialah al-Insof(adil?) dan al-Maudhuiyyah(objektif).

4."Sesungguhnya cara untuk menghidupkan ilmu adalah dengan sering menyebut-nyebutnya".

5.Kitab al-Mu'talif wal al-Mukhtalif menceritakan tentang perawi yang nama sama tetapi berbeza orangnya dan status keadilannya.Contohnya Sufyan b.Uyainah dan Sufyan b.atthauri thiqah,namun Sufyan b.Hussain Dhoif/maudhu'(Lupa).

6.Antara kitab penting juga dalam ilmu Rijal ialah: Muqoddimah Sohih Muslim,Kitab ar-Risalah,Al-'Ilal Tirmizi, Tarikh Kabir lil Bukhari,al-kamil baina dhuafa',Al-Maudhuaat Ibnu Jauzi.

7.Antara isu yang dibincangkan dalam kitab Usul li Nuruddin Itr ialah penerimaan riwayat pelaku Bidaah dan juga kritikan yang samar adakah diterima?

8.Seseorang yang Imam dalam bidang Quran,berkemungkinan lemah dalam hadis.Contoh:Imam 'Ashim b.Najud.(Tidak pasti nama)

9.Imam Yahya b.Mai'n:Kita memperbincangkan status/keadaan perawi yang berkemungkinan sudah di syurga.Kata-katanya menggambarkan amanah yang dipikul oleh ahli hadis berat dan mereka bukannya saja-saja ghibah serta suka melakukannya.

10.Adil bermaksud istiqomah dalam kebaikan.

11.Imam Bukhari:Aku belum pernah ghibah semenjak aku tahu bahawa Ianya Haram.

12.Said b.Jubair(anak murid Ibnu Abbas) tidak akan membiarkan manusia ghibah di hadapannya.

13.albahsu wa Sual tentang Perawai wajib kerana pemahaman agama datang melalui mereka.

14.Alkhotib Baghdadi berbincang strategi menuntut ilmu dengan syeikhnya(Abu Bakar albarqoni) dan merancang perjalanannya.Ust Uma mencadangkan agar habiskan dan kuasai ilmu yang ada pakarnya di Malaysia kemudian cari di luar ilmu lain yang tiada pakar.

15.Ilmu Hadis merudum suatu masa, kemudian naik kembali masa kini.Antara ulama hadis kontemporari:alBani,Ahmad Syaakir,Abdullah Umari dan lain2.

16.Ibnu Mubarak:Jika kami tidak menerangkan kelemahan perawi,bagaimana mahu dibezakan antara haq dan Batil.

17.Dalam Muqoddimmah Ibnu Solah,Ibnu Hatim arRazi menangis ketika ada orang yang datang menceritakan besarnya dosa ghibah.

18.Seorang perempuan(Fatimah binti Qois) minta pandangan nabi tentang Muawiyyah dan Abu Jaham untuk dijadikan suami,Maka Rasul menyebut Abu Jaham sering musafir dan Muawiyyah faqir,dan Rasulullah mencadangkan perempuan tersebut menikahi Usamah sehingga dia hidup bahagia selepas itu.

19.An-nasab harus jika untuk mengenalkan antaranya Abdul Rahman al'a'raj (tempang?) dan sulaiman al-'a'mash(juling?

Oct 1, 2014

Pembahagian Pengharaman Transaksi Kewangan Islam


       Syariah diturunkan Allah untuk memberi manfaat kepada manusia dan menolak kerosakan serta mafsadah.Di antara buktinya dalam bab muamalat, sebahagian ulama berpendapat hukum asal muamalat harus kecuali ada dalil yang menunjukkan pengharamannya.Difahami dari kaedah ini semua transaksi kewangan adalah harus hukumnya tanpa mengira bentuk dan keadaannya kecuali ada isyarat pengharamannya dari syariah.
Jika diteliti dalil pengharaman transaksi muamalat dalam islam banyak datang dalam bentuk umum atau sighah mujmal dan tidak terperinci seperti dalam bab ibadat.Mungkin hikmah disebaliknya adalah kerana bidang muamalat adalah bidang yang luas dan terdedah dengan perubahan bentuk dan jenis dengan perubahan yang mendadak.Oleh itu Islam menggariskan usul atau kaedah asas atau prinsip pengharaman agar mujtahid boleh mengaplikasikannya pada setiap zaman.Namun perkara-perkara yang diharamkan Allah amat sedikit dan padanya ada maslahah pada manusia seluruhnya.

Berkata Ibnu Taimiyah:
"Sesungguhnya secara umumnya perkara-perkara yang diharamkan dalam muamalat di dalam Quran dan Sunnah kembali kepada untuk merealisasikan keadilan dan larangan perlakuan zalim,samada kecil atau besar".

Sebab-sebab pengharaman muamalat

1.Pengharaman yang disebabkan zat/ain
Contohnya khinzir,darah,arak,bangkai,anjing,arak dan lain-lain yang jelas disebut di dalam quran.Illah diharamkan adalah kerana ia tidak mempunyai nilai manfaat bahkan membawa mudharat dan mafsadah kepada manusia.Perlu difahami bahawa dalam kaedah fiqh,pengharaman sesuatu merujuk kepada perbuatan manusia.Oleh itu,diharamkan kepada manusia untuk berjual beli dengan barang-barang ini dan mengambil untuk darinya sebagaimana yang dihelahkan oleh yahudi.

"Laknat Allah kepada Yahudi,Allah telah mengharamkan lemak kepad mereka,tetapi mereka menjualnya dan memakan bayarannya, kerana Allah jika mengharamkan makan sesuatu,maka diharamkan untuk makan hasil jualannya"(HR Ahmad)

oleh itu disana ada kaedah Fiqh Muamalat iaitu, "Jika diharamkan sesuatu maka diharamkan berjual beli dengannya".

Namun perlu diingat jika illah mudharat hilang maka hukumnya menjadi harus.Antaranya jual beli najis yang digunakan sebagai baja(bilarwas wal azbal) atau jualbeli anjing untuk menjadi penjaga atau pemburu.

Beza antara fiqh Muamalat dan Ekonomi Islam



Kemungkinan ada sesetengah muslim menggangap bahawa fiqh muamalat dan ekonomi Islam adalah sesuatu yang sama.Anggapan ini tidak benar.Ada perbezaan kecil antara kedua-dua perbahasan ini.
Antaranya ialah Perbahasan ekonomi lebih luas daripada perbahasan fiqh muamalat kerana ia melibatkan pelbagai aspek antaranya inflasi,deflasi,penawaran dan permintaan pasaran,jenis-jenis pasaran,teori-teori yang berkaitan dengan ekonomi,mazhab dan pemikiran dalam ekonomi.
Sementara itu jika kita melihat kepada fiqh muamalat maka ianya lebih memfokuskan aspek hukum hakam,kesusaian sesuatu kontrak dengan syariah,perbankan dan sebagainya.Oleh itu ia lebih kecil dan terhad.
Dari sudut takrif ekonomi bermaksud bagaimana kita menguruskan sumber-sumber untuk menghasilkan servis atau produk untuk memenuhi keperluan manusia.
Dan Islam telah meletakkan kaedah-kaedah umum pengurusan ekonomi bagi Negara islam,maka kajian bagaimana untuk menyelesaikan permasalahan ekonomi antaranya dari sudut penghasilan,penagihan dan pertukaran menurut perspektif islam adalah tujuan utama daripada ekonomi islam,
Fiqh Muamalat dari sudut takrif ialah kumpulan hukum hakam yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi dalam masyarakat antaranya hukum yang berkaitan dengan pengurusan kewangan,pemilikan dan kontrak.
FIqh Muamalat terhad kepada kajian mengenai kewangan antara individu,masyarakat dan Negara.Manakala Ekonomi Islam lebih luas dan melibatkan undang-undang kewangan dalam sesebuah Negara.
Jika seseorang mahu mempelajari fiqh muamalat dia akan mempelajari hukum hakam syariah perbuatan dalam interaksinya dengan kewangan di antara individu dan masyarakat secara terperinci.Manakala,ekonomi Islam maka dia akan mempelajari teori umum dan hubungan yang berkaitan dengan kewangan dan seperti kebebasan ekonomi dan jaminan pemilikan masyarakat dan lain-lain.
Contohnya:
Dalam permasalahan monopoli (ihtikar) ataupun sorok barang daripada pasaran dengan tujuan untuk menunggu harga meningkat.
Fiqh Muamalat:Kajian tentang dalil pengharaman monopoli,dan barangan yang ditegah monopoli,syarat pengharaman dan jenis hukuman kepada si peselah.
Ekonomi Islam:Membincangkan tentang factor-faktor yang membawa kepada timbulnya monopoli,jenisnya dan kesannya dalam pengagihan pendapatan dan lain-lain selain dari menerangkan hukum seperti fiqh.
Permasalahan lain contohnya faedah.Dari sudut fiqh maka yang dikaji adalah hukumnya dan dalil-dalil pengharaman faedah dan menerangkan perbagai bentuk perniagaan ribawi.Namun ekonomi islam membincangkan tentang kesan faedah kepada penawaran wang.


Sumber:Fiqh Muamalat,Dr Fuad as-sauri

Nov 9, 2013

Salahkah Perbezaan Fikrah Si Daie

Pertembungan fikrah dan cara pembawaan boleh menjadikan dua pihak berselisih dalam senyap bahkan boleh sampai ke peringkat peperangan.Kita lihat dalam sejarah Islam banyak fikrah atau ideologi samada akidah atau feqah atau rohani sekalipun bertelagah sehinggakan tahap kafir mengkafirkan antara mereka.Oleh itu penting untuk kita mengulas isu ini kerana dalam medan dakwah dan tarbiah juga wujud isu-isu ini bahkan ia merupakan sesuatu yang biasa berlaku . Walaupun begitu matlamat mereka tetap sama.Kemungkinan aura yang disebut oleh mereka yang pakar dalam ilmu kemanusian atau motivasi ada kaitan dalam isu ini.

Manusia sentiasa mahu orang lain sama dan bersetuju dengan mereka.Jika tidak mereka akan mengangap orang tersebut lawan mereka atau saingan mereka.Sedangkan dalam quran Allah sudah menafikan bahawa manusia akan bersatu dan juga ada disebut dalam hadis.Cuma kita bersatu dalam hadaf bukan pada mekanisma dan cara pembawaan.Kita boleh bersetuju dan kita boleh berselisih.Di sisnilah pentingnya peranan berlapang dada yang menjadi mekanisma ukhuwwah yang paling bawah.

Antara fasa dalam dakwah ialah apabila seorang anggota itu sudah merasa dirinya mempunyai pengalaman yang banyak dan fikrah yang sudah dia yakini dan merasakan ia adalah fikrah yang betul.Seolah-olah dai merasakan dia sudah mempunyai pegangan yang kuat dan identity diri yang jelas.

Namun begitu,harus diingat,kadang-kadang keadaan ini tidak terlalu tepat kerana boleh jadi kita akan melihat dia akan menukar pendiriannya dalam tempoh masa yang amat singkat setelah dipengaruhi oleh unsur-unsur yang berada di sekitarnya seperti sahabat rapat,Ustaz yang dia hormat atau seorang tokoh yang dia sanjung.Namun jika dia mendengar idea yang sama dari saingannya fikrah dan lawan cara pembawaannya,dia cenderung untuk menidakkannya tanpa mendengar terlebih dahulu.

Oleh itu,pentingnya kita mendengar dari lawan dan kawan,dan pentingya kita merasakan ilmu dan kefahaman kita masih banyak kelemahan dan ruang yang perlu diperbaiki.Buangkan ego dalam diri kita,rendahkannya dan berlapang dadalah serta mintalah hidayah dari Allah.Jauhilah orang-orang yang jahil dengan cara terhormat kerana ia boleh membuang banyak masa,tenaga dan keberkatan.


Kita bimbang seseorang yang sudah mempunyai banyak kefahaman dan penngalaman dalam dakwah dan tarbiah sudah tidak mahu mendengar dari orang lain.Ingatlah teguran seorang budak yang menjadi jurucakap kaumnya ketika diminta oleh Umar bin Abdul Aziz untuk memberikan laluan kepada orang yang lebih muda maka dia menjawab: “Jika masalahnya adalah usia tentu ada orang yang lebih layak dari kamu untuk menjadi khalifah”.Bahkan yang lebih malang jika dia menjadikan ilmunya untuk memberi alasan atau justifikasi tidak berbuat dalam medan amal.Moga Allah menjauhkan kita dari amalan tersebut.