Pages

Mar 6, 2015

Bagaimana mahu memulakan bisnes

Ehsan google

Perniagaan yang baru bermula biasanya tidak mempunyai kekuatan yang cukup dan tidak ada backup yang kuat.Antara elemen yang perlu diambil kira ialah

1.Modal
2.Pasaran
3.Networking
4.Ilmu dan Pengalaman
5.Kepakaran dan kecekapan
6.Kemahiran menguruskan risiko

Oleh itu mereka memerlukan aliran keluar masuk tunai yang lebih pantas dan seeloknya mengelakkan diri dari berhutang.Ramai yang bila berfikir mahu membuka bisnes mereka akan mula berfikir tentang modal yang besar. Pada pendapat penulis saiz modal perlu berkembang seiring dengan elemen-elemen lain dalam perniagaan.Antaranya ilmu,pasaran,jaringan dan lain-lain sebagaimana yang disebutkan diatas.

Pada kesempatan yang lain penulis akan berkongsi setiap satu daripada elemen-elemen diatas.

Oct 27, 2014

Nota Usul JarhWa Ta'dil Ust Umar Muhammad Noor



1.Antara kitab penting asas:Usul Jarh Wa Ta'dil:Nuruddin Itr,Ar-Raf'u wa Takmil Fi alJarh Wa Ta'dil:allaknawi,Risalah Al-Jarh WaTa'dil lilQosim,alKifayah Fi Ilmi Riwayah lilkhotib Al-Baghdadi.

2.Ilmu Jarh Wa Ta'dil adalah amanah yang besar kerana ia melibatkan Hadis.Oleh itu,Ali b.Madini ketika ditanya tentang status ayahnya,walaupun mulanya enggan menjawab kerana beradab dengan ayahnya,namun setelah didesak,dia memberitahu kepada penanya ayahnya dhoif.

3.Antara syarat al-Jarih (pengkritik) ialah al-Insof(adil?) dan al-Maudhuiyyah(objektif).

4."Sesungguhnya cara untuk menghidupkan ilmu adalah dengan sering menyebut-nyebutnya".

5.Kitab al-Mu'talif wal al-Mukhtalif menceritakan tentang perawi yang nama sama tetapi berbeza orangnya dan status keadilannya.Contohnya Sufyan b.Uyainah dan Sufyan b.atthauri thiqah,namun Sufyan b.Hussain Dhoif/maudhu'(Lupa).

6.Antara kitab penting juga dalam ilmu Rijal ialah: Muqoddimah Sohih Muslim,Kitab ar-Risalah,Al-'Ilal Tirmizi, Tarikh Kabir lil Bukhari,al-kamil baina dhuafa',Al-Maudhuaat Ibnu Jauzi.

7.Antara isu yang dibincangkan dalam kitab Usul li Nuruddin Itr ialah penerimaan riwayat pelaku Bidaah dan juga kritikan yang samar adakah diterima?

8.Seseorang yang Imam dalam bidang Quran,berkemungkinan lemah dalam hadis.Contoh:Imam 'Ashim b.Najud.(Tidak pasti nama)

9.Imam Yahya b.Mai'n:Kita memperbincangkan status/keadaan perawi yang berkemungkinan sudah di syurga.Kata-katanya menggambarkan amanah yang dipikul oleh ahli hadis berat dan mereka bukannya saja-saja ghibah serta suka melakukannya.

10.Adil bermaksud istiqomah dalam kebaikan.

11.Imam Bukhari:Aku belum pernah ghibah semenjak aku tahu bahawa Ianya Haram.

12.Said b.Jubair(anak murid Ibnu Abbas) tidak akan membiarkan manusia ghibah di hadapannya.

13.albahsu wa Sual tentang Perawai wajib kerana pemahaman agama datang melalui mereka.

14.Alkhotib Baghdadi berbincang strategi menuntut ilmu dengan syeikhnya(Abu Bakar albarqoni) dan merancang perjalanannya.Ust Uma mencadangkan agar habiskan dan kuasai ilmu yang ada pakarnya di Malaysia kemudian cari di luar ilmu lain yang tiada pakar.

15.Ilmu Hadis merudum suatu masa, kemudian naik kembali masa kini.Antara ulama hadis kontemporari:alBani,Ahmad Syaakir,Abdullah Umari dan lain2.

16.Ibnu Mubarak:Jika kami tidak menerangkan kelemahan perawi,bagaimana mahu dibezakan antara haq dan Batil.

17.Dalam Muqoddimmah Ibnu Solah,Ibnu Hatim arRazi menangis ketika ada orang yang datang menceritakan besarnya dosa ghibah.

18.Seorang perempuan(Fatimah binti Qois) minta pandangan nabi tentang Muawiyyah dan Abu Jaham untuk dijadikan suami,Maka Rasul menyebut Abu Jaham sering musafir dan Muawiyyah faqir,dan Rasulullah mencadangkan perempuan tersebut menikahi Usamah sehingga dia hidup bahagia selepas itu.

19.An-nasab harus jika untuk mengenalkan antaranya Abdul Rahman al'a'raj (tempang?) dan sulaiman al-'a'mash(juling?

Oct 1, 2014

Pembahagian Pengharaman Transaksi Kewangan Islam


       Syariah diturunkan Allah untuk memberi manfaat kepada manusia dan menolak kerosakan serta mafsadah.Di antara buktinya dalam bab muamalat, sebahagian ulama berpendapat hukum asal muamalat harus kecuali ada dalil yang menunjukkan pengharamannya.Difahami dari kaedah ini semua transaksi kewangan adalah harus hukumnya tanpa mengira bentuk dan keadaannya kecuali ada isyarat pengharamannya dari syariah.
Jika diteliti dalil pengharaman transaksi muamalat dalam islam banyak datang dalam bentuk umum atau sighah mujmal dan tidak terperinci seperti dalam bab ibadat.Mungkin hikmah disebaliknya adalah kerana bidang muamalat adalah bidang yang luas dan terdedah dengan perubahan bentuk dan jenis dengan perubahan yang mendadak.Oleh itu Islam menggariskan usul atau kaedah asas atau prinsip pengharaman agar mujtahid boleh mengaplikasikannya pada setiap zaman.Namun perkara-perkara yang diharamkan Allah amat sedikit dan padanya ada maslahah pada manusia seluruhnya.

Berkata Ibnu Taimiyah:
"Sesungguhnya secara umumnya perkara-perkara yang diharamkan dalam muamalat di dalam Quran dan Sunnah kembali kepada untuk merealisasikan keadilan dan larangan perlakuan zalim,samada kecil atau besar".

Sebab-sebab pengharaman muamalat

1.Pengharaman yang disebabkan zat/ain
Contohnya khinzir,darah,arak,bangkai,anjing,arak dan lain-lain yang jelas disebut di dalam quran.Illah diharamkan adalah kerana ia tidak mempunyai nilai manfaat bahkan membawa mudharat dan mafsadah kepada manusia.Perlu difahami bahawa dalam kaedah fiqh,pengharaman sesuatu merujuk kepada perbuatan manusia.Oleh itu,diharamkan kepada manusia untuk berjual beli dengan barang-barang ini dan mengambil untuk darinya sebagaimana yang dihelahkan oleh yahudi.

"Laknat Allah kepada Yahudi,Allah telah mengharamkan lemak kepad mereka,tetapi mereka menjualnya dan memakan bayarannya, kerana Allah jika mengharamkan makan sesuatu,maka diharamkan untuk makan hasil jualannya"(HR Ahmad)

oleh itu disana ada kaedah Fiqh Muamalat iaitu, "Jika diharamkan sesuatu maka diharamkan berjual beli dengannya".

Namun perlu diingat jika illah mudharat hilang maka hukumnya menjadi harus.Antaranya jual beli najis yang digunakan sebagai baja(bilarwas wal azbal) atau jualbeli anjing untuk menjadi penjaga atau pemburu.

Beza antara fiqh Muamalat dan Ekonomi Islam



Kemungkinan ada sesetengah muslim menggangap bahawa fiqh muamalat dan ekonomi Islam adalah sesuatu yang sama.Anggapan ini tidak benar.Ada perbezaan kecil antara kedua-dua perbahasan ini.
Antaranya ialah Perbahasan ekonomi lebih luas daripada perbahasan fiqh muamalat kerana ia melibatkan pelbagai aspek antaranya inflasi,deflasi,penawaran dan permintaan pasaran,jenis-jenis pasaran,teori-teori yang berkaitan dengan ekonomi,mazhab dan pemikiran dalam ekonomi.
Sementara itu jika kita melihat kepada fiqh muamalat maka ianya lebih memfokuskan aspek hukum hakam,kesusaian sesuatu kontrak dengan syariah,perbankan dan sebagainya.Oleh itu ia lebih kecil dan terhad.
Dari sudut takrif ekonomi bermaksud bagaimana kita menguruskan sumber-sumber untuk menghasilkan servis atau produk untuk memenuhi keperluan manusia.
Dan Islam telah meletakkan kaedah-kaedah umum pengurusan ekonomi bagi Negara islam,maka kajian bagaimana untuk menyelesaikan permasalahan ekonomi antaranya dari sudut penghasilan,penagihan dan pertukaran menurut perspektif islam adalah tujuan utama daripada ekonomi islam,
Fiqh Muamalat dari sudut takrif ialah kumpulan hukum hakam yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi dalam masyarakat antaranya hukum yang berkaitan dengan pengurusan kewangan,pemilikan dan kontrak.
FIqh Muamalat terhad kepada kajian mengenai kewangan antara individu,masyarakat dan Negara.Manakala Ekonomi Islam lebih luas dan melibatkan undang-undang kewangan dalam sesebuah Negara.
Jika seseorang mahu mempelajari fiqh muamalat dia akan mempelajari hukum hakam syariah perbuatan dalam interaksinya dengan kewangan di antara individu dan masyarakat secara terperinci.Manakala,ekonomi Islam maka dia akan mempelajari teori umum dan hubungan yang berkaitan dengan kewangan dan seperti kebebasan ekonomi dan jaminan pemilikan masyarakat dan lain-lain.
Contohnya:
Dalam permasalahan monopoli (ihtikar) ataupun sorok barang daripada pasaran dengan tujuan untuk menunggu harga meningkat.
Fiqh Muamalat:Kajian tentang dalil pengharaman monopoli,dan barangan yang ditegah monopoli,syarat pengharaman dan jenis hukuman kepada si peselah.
Ekonomi Islam:Membincangkan tentang factor-faktor yang membawa kepada timbulnya monopoli,jenisnya dan kesannya dalam pengagihan pendapatan dan lain-lain selain dari menerangkan hukum seperti fiqh.
Permasalahan lain contohnya faedah.Dari sudut fiqh maka yang dikaji adalah hukumnya dan dalil-dalil pengharaman faedah dan menerangkan perbagai bentuk perniagaan ribawi.Namun ekonomi islam membincangkan tentang kesan faedah kepada penawaran wang.


Sumber:Fiqh Muamalat,Dr Fuad as-sauri

Nov 9, 2013

Salahkah Perbezaan Fikrah Si Daie

Pertembungan fikrah dan cara pembawaan boleh menjadikan dua pihak berselisih dalam senyap bahkan boleh sampai ke peringkat peperangan.Kita lihat dalam sejarah Islam banyak fikrah atau ideologi samada akidah atau feqah atau rohani sekalipun bertelagah sehinggakan tahap kafir mengkafirkan antara mereka.Oleh itu penting untuk kita mengulas isu ini kerana dalam medan dakwah dan tarbiah juga wujud isu-isu ini bahkan ia merupakan sesuatu yang biasa berlaku . Walaupun begitu matlamat mereka tetap sama.Kemungkinan aura yang disebut oleh mereka yang pakar dalam ilmu kemanusian atau motivasi ada kaitan dalam isu ini.

Manusia sentiasa mahu orang lain sama dan bersetuju dengan mereka.Jika tidak mereka akan mengangap orang tersebut lawan mereka atau saingan mereka.Sedangkan dalam quran Allah sudah menafikan bahawa manusia akan bersatu dan juga ada disebut dalam hadis.Cuma kita bersatu dalam hadaf bukan pada mekanisma dan cara pembawaan.Kita boleh bersetuju dan kita boleh berselisih.Di sisnilah pentingnya peranan berlapang dada yang menjadi mekanisma ukhuwwah yang paling bawah.

Antara fasa dalam dakwah ialah apabila seorang anggota itu sudah merasa dirinya mempunyai pengalaman yang banyak dan fikrah yang sudah dia yakini dan merasakan ia adalah fikrah yang betul.Seolah-olah dai merasakan dia sudah mempunyai pegangan yang kuat dan identity diri yang jelas.

Namun begitu,harus diingat,kadang-kadang keadaan ini tidak terlalu tepat kerana boleh jadi kita akan melihat dia akan menukar pendiriannya dalam tempoh masa yang amat singkat setelah dipengaruhi oleh unsur-unsur yang berada di sekitarnya seperti sahabat rapat,Ustaz yang dia hormat atau seorang tokoh yang dia sanjung.Namun jika dia mendengar idea yang sama dari saingannya fikrah dan lawan cara pembawaannya,dia cenderung untuk menidakkannya tanpa mendengar terlebih dahulu.

Oleh itu,pentingnya kita mendengar dari lawan dan kawan,dan pentingya kita merasakan ilmu dan kefahaman kita masih banyak kelemahan dan ruang yang perlu diperbaiki.Buangkan ego dalam diri kita,rendahkannya dan berlapang dadalah serta mintalah hidayah dari Allah.Jauhilah orang-orang yang jahil dengan cara terhormat kerana ia boleh membuang banyak masa,tenaga dan keberkatan.


Kita bimbang seseorang yang sudah mempunyai banyak kefahaman dan penngalaman dalam dakwah dan tarbiah sudah tidak mahu mendengar dari orang lain.Ingatlah teguran seorang budak yang menjadi jurucakap kaumnya ketika diminta oleh Umar bin Abdul Aziz untuk memberikan laluan kepada orang yang lebih muda maka dia menjawab: “Jika masalahnya adalah usia tentu ada orang yang lebih layak dari kamu untuk menjadi khalifah”.Bahkan yang lebih malang jika dia menjadikan ilmunya untuk memberi alasan atau justifikasi tidak berbuat dalam medan amal.Moga Allah menjauhkan kita dari amalan tersebut.

Nov 4, 2013

Sistem sokongan Dakwah kampus

Kadang-kadang dalam fasa dakwah ini kita ditawarkan dengan tugasan yang pelbagai yang berat dan memerlukan komitmen dan kesabaran yang banyak.Tidak ada yang sanggup menerima dan menyambutnya kecuali kita.Atau kita cenderung untuk menerimanya kerana ia paling dekat dengan kemampuan dan minat kita.Kemudaian kita melaksanakan tugasan dan amanah tersebut sehabis yang kita mampu.

Kemudian ketika sesi muhasabah,kita mendapat kritikan yang keras dan teguran yang kasar atau sindiran yang tajam dari apa yang sudah kita kerjakan dalam satu tempoh tertentu.Apakah perasaan kita  pada masa itu? kita akan  merasakan usaha kita selama ini tidak dihargai, penat lelah kita seolah-olah tidak ada nilai sedikit pun di pandangan mata orang lain.Hati kita remuk,seperti remuknya tin minuman yang dipijak.Sakit yang amat sehingga menjadikan kita pesimis dan sinis dengan sahabat-sahabat yang berjuang bersama-sama dalam gerabak yang sama.

Hal ini lebih teruk jika ramai ahli dakwah dan tarbiah yang lain hanya melihat namun tidak membantu.Hanya menunggu tetapi tidak bertanya.Hanya mahu disuap tetapi tidak mahu sama-sama menyuap.

Tidak ada sistem sokongan yang bagus banyak merencatkan pertumbuhan dakwah.Hal ini jika dibiarkan akan menyebabkan kefuturan si pekerja tersebut.Bahkan dia seolah-olah tidak wujud walaupun dia masih berada  berdekatan.

Kita menyaksikan dalam fasa ini,ada ikhwah yang mengalami masalah kewangan yang serius,masalah study sehinggakan mendapat pointer cukup-cukup makan bahkan ada yang terpaksa berhenti dan menukar kursus lain, masalah keluarga, masalah kesihatan yang kronik,namun mereka ini mendapat tauzif yang tidak sedikit tetapi tidak dipedulikan dan dibincangkan permasalahan mereka itu.Jelas,ini adalah satu bentuk kezaliman dalam ukhuwwah dan tarbiah.

Untuk membina sistem sokongan yang bagus memerlukan banyak kriteria antaranya umur pekerja dakwah dan tarbiah mestilah tidak terlalu jauh,tempat belajar yang sama,kecenderungan yang sama, saling menyangi dan mencintai,saling menunaikan hak-hak ukhuwwah antara mereka berada di mustawa yang sama dan dipantau oleh murabbi yang berpengalaman dan peduli dengan apa yang berlaku.

Mereka ini berperanan sokong menyokong antara mereka,bertanya ketika tidak kelihatan,tempat mencurahkan perasaan dan kebingungan,tempat beramal jamaie bersama,dan tempat meminta pertolongan.Mereka saling memahami,jika ada yang membuat kesilapan mereka menegur dengan berhikmah,jika ada yang terlalu lambat akan ada yang melajukannya,dan jika ada yang terlalu laju ada yang akan menariknya ke belakang.Mereka amat sensitif dengan perasaan orang lain yang berada dalam lingkungan mereka,bersikap kasihan belas dan rahmat sesama mereka tetapi tegas bila berhadapan dengan musuh Islam.Di peringkat ini hati-hati mereka mula menyatu,ikhlas dalam berukhuwwah dan beramal dan mengutamakan hubungan ini melebihi hubungan dengan manusia yang lain.


Namun kita akui,untuk mewujudkan sistem ini amat sukar dan memerlukan pengorbanan masa,tenaga dan wang yang banyak dan kesedaran dari semua pihak.Jangan dakwah ini menjadikan hubunngan ukhuwwah kita seperti seorang majikan dengan pekerjanya di syarikat-syarikat atau di kedai-kedai.Hubungan yang kering dan di dasarkan atas kepentingan dunia semata-mata.Ya Allah tetapkanlah hati-hati kami diatas ketaatan kepada-Mu. 

Nov 2, 2013

Ego Daie


Ego ialah sifat yang tidak dapat dipisahkan dari orang yang merasa dirinya lebih baik dari saingannya.Biasanya dia akan sentiasa membandingkan kelebihannya dangan kelebihan lawannya dan mengingat-ingat keburukan dan kekurangan lawannya.

Sifat ini amat bahaya kerana ia boleh merencatkan keimanan dan ukhuwwah antara muslim.Bahkan yang paling bahaya ia boleh menjadikan seseorang itu tidak rasional dalam membuat keputusan dan mengambil pendirian yang tepat.Banyak dari keputusan dan tindakannya dipengaruhi oleh rasa iri hati,tidak puas hati atau dengki kepada saingannya.

Hati-hatinya akan panas berkobar-kobar kerana marah sehinggakan mata hatinya buta dalam menilai kebenaran.Lebih-lebih lagi jika kebenaran bersama saingannya dan kesalahan di pihaknya.Ia akan menjadi barah jika tidak dicegah.

Oleh itu kita melihat dalam Islam, Sifat ego atau takabbur amat tercela.Bahkan Iblis dikeluarkan dari syurga kerana mempunyai sifat ini dan merasakan dirinya lebih baik daripada Adam.Walaupun pada pandangan mata kasarnya betul,tetapi disisi Allah taala berbeza kayu ukur kemuliaan makhluk.

Seorang jundi seharusnya berlapang dada dalam menerima nasihat dan teguran walaupun ia dilakukan dalam keadaan yang agak terbuka dan kasar serta agak tidak tepat teguran tersebut, ditambah pula dengan akhlak si penegur yang diragui.

Seorang yang berada dalam posisi qiyadah tidak seharusnya menghukum terlalu cepat dan jika perlu menegur,tegurlah dalam keadaan tertutup dan secara senyap.Seorang Qiyadi mestilah menunjukkan qudwah yang baik sebelum mengarahkan jundi melakukan hal yang sama.Nasihat yang baik kalau tidak kena caranya,kadang-kadang tidak berkesan juga.Oleh itu,kita perlu meraikan kedua-duanya.

  

Oct 29, 2013

Suatu fasa dalam kehidupan

Dahulu ketika di sekolah,aku jenis yang sendiri-sendiri.Makan,minum bahkan semua aktiviti kebanyakan sendiri dan dibuat berseorangan.Aku selesa begitu,bahkan ia melancarkan pergerakan dan menjadikan aku rasa bebas.

Perasaan aku bercampur baur.Dalam usia yang mencecah 23 tahun aku semakin kerap hilang kawalan diri sehinggakan kadang-kadang terlalu parah.Rasa mahu ditemani dan mempunyai sahabat yang setia semakin kerap memanggil dan mengetuk-ngetuk hati ini.Adakah ini sesuatu yang normal atau sesuatu yang luar dari kewarasan,aku tidak pasti.Kadang-kadang sikap aku menyebabkan kawan-kawan merasa pelik dan menjauhkan diri dari aku.Mungkin mereka merasakan aku terlalu mengonkong atau menyekat pergerakan mereka.

Cinta ini kadang-kadang sukar ditafsirkan dan dicari sebabnya.Bahkan ia buta dan menyebabkan orang yang mengalaminya tidak dapat lagi membezakan dan merasionalkan setiap tindakannya.Cinta itu tidak boleh dipisahkan dengan fitrah manusia.Cuma ia perlu dikawal dan diruskan dengan baik.Tetapi ia mencabar dan kadang-kadang ia boleh tersasar.


Namun yang pasti,perjuangan untuk membina ummat masih belum selesai.Banyak lagi lompong-lompong yang harus aku penuhi.Aku merasakan seolah-olah aku nampak cara untuk menyelesaikan.Namun ia memerlukan kesabaran dan ketahanan yang bukan sedikit.Oleh itu aku tidak boleh terleka dengan mainan dan buaian perasaan.Kelak aku akan semakin lemah dan mudah hilang kawalan.Moga Allah menetapkan hati-hati orang yang mahukan Islam berada di tempatnya yang asal.

Oct 17, 2013

Kitab Hadis vs Kitab Sejarah

Ramai orang keliru antara status kitab sejarah dan kedudukan kitab hadis.Ada antara mereka yang menggangap kedua-dua kitab ini sama dari sudut kekuatan dan keabsahannya.Apa lagi,jika ia melibatkan sejarah umat islam itu sendiri.Bahkan yang lebih besar apabila penulis-penulis sejarah mula menyandarkan cerita sejarah yang ditulis mereka kepada agama, dan mendakwa ia sebagai hujjah.

Metodologi penulisan kitab sejarah amat berbeza dengan penulisan kitab Hadis.Kitab hadis memuatkan hadis-hadis yang disertai dengan menyebutkan satu persatu rantaian perawi yang menyampaikan hadis tersebut disamping kredibiliti dan integriti serta keadilan perawi juga diletakkan.Oleh itu, hadis sohih misalnya, adalah hadis yang perlu kita yakin seyakin-yakinnya ia datang dari Rasulullah Saw.Kitab Hadis yang paling Sohih dalam kalangan umat islam adalah kitab Sohih Bukhari dan sohih Muslim.

Kitab sejarah pula amat2 lain metodologi penulisannya, Ia disusun mengikut plot-plot supaya jalan penceritaannya cantik dan tersusun.Kitab sejarah juga amat jarang menyertakan sanad yang menyebabkan kita tidak tahu dari mana diambilnya kisah dan cerita tersebut.Kitab sejarah kadang ditulis oleh orang-orang yang mempunyai kepentingan samada dari sudut politik atau keagamaan demi mengawal orang-orang yang menjadi sasarannya.

Orang keliru antaranya kitab Sirah Ibnu Ishak dan hadis Imam Bukhari, yang mana patut didahulukan jika kedua-keduanya bercanggah dalam satu-satu isu.Memang tidak dapat dinafikan kitab sirah Ibnu Ishak lebih cantik dari sudut plotnya, namun kita sepatutnya mendahulukan kitab hadis kerana ia menyertakan sanad yang bersambung dan sudah diperiksa oleh ulama' akan keabsahannya.Berbeza dengan kitab sirah Ibnu Ishak,yang status keadilan Muhammad bin Ishak masih dibincangkan, Bahkan ada yang mengatakan beliau lemah dan syiah (lihat mizan i'tidal)

Begitu juga dengan Tarikh Thobari, ramai yang keliru.Imam Thobari seorang yang pakar dalam bidang tafsir, namun ketika menulis kitab sejarahnya Tarikh Umam wal muluk menggunakan manhaj penulisan kitab sejarah.Walaupun beliau menyertakan sanad dalam kitabnya, namun ramai perawi-perawinya dari kalangan syiah.Bahkan kitabnya ini ditemui lewat dan dikumpulkan kembali oleh para orientalis.Ini adalah sesuatu yang meragukan(Lihat Buku Syiah Rafidhah,maulana Asri dan fitnah terhadap sahabat, Dr Asri Zainal Abidin)

Ini bukan bermaksud kita menolak seratus peratus sejarah dan apa-apa sahaja cerita mesti disertakan dengan sanad.Ia tentu menyusahkan dan bahkan ia kadang-kadang mustahil.Kerana itu, kita tidak mengatakan ia berlaku dalam setiap bidang, namun kita mewajibkan kaedah ini berlaku jika ia melibatkan agama, Rasulullah Saw dan juga para sahabat supaya agama ini tidak menyeleweng dari asal seperti yang berlaku pada agama yahudi dan Nasrani.Disebabkan itu, ulama' telah menggariskan beberapa usul dalam kita menerima fakta sejarah.

1.Riwayat itu tidak bercanggah dengan Al-Quran.
2.Riwayat itu tidak bercanggah dengan sunnah yang mutawatir
3.Riwayat itu tidak bercanggah dengan ijma' para sahabat.
4.Jika Ia melibatkan peristiwa penting yang sepatutnya disaksikan oleh ramai orang, namun tiada yang meriwayatkannya kecuali seorang atau dua orang, maka ia juga tidak boleh diterima.
5.Riwayat itu tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip yang ditemui oleh ulama' yang mu'tabar.
6.Riwayat itu tidak bercanggah dengan hadjs yang maqbul dan sohih.
7.Riwayat itu tidak bercanggah dengan kaedah bahasa arab.
8.Riwayat itu tidak menggugat kedudukan Rasulullab Saw dan para sahabat.
9.Riwayat itu tidak bercanggah dengan akal yang sejahtera.Usul yang istimewa ini dipanggil usul yang dirayah.
10.Riwayat itu tidak bercanggah dengan kenyataan.
(lihat Syiah Rafidhah, Maulana Asri)

Oleh itu, kita mesti berhati-hati dan berwaspada dalam menerima fakta sejarah.Kita juga mesti tahu yang mana patut didahulukan antara kitab sejarah dan kitab kitab Hadis supaya kita tidak bingung dan menyangka yang bukan-bukan kepada Rasulullah Saw dan para sahabat Ra yang kedudukan mereka telah dijamin di dalam Quran.

Aug 27, 2013

Yahya bin ma'in

Imam az-Zahabi dalam kitabnya "Siyar A'lamun Nubala" menyatakan: "beliau ialah al-Imam al-Hafiz al-Jihbiz (pakar hadis), Sayyidul Huffaz, Malikul Huffaz, Syeikhul Muhaddisin, Abu Zakariyya, Yahya bin Ma'in bin Aun bin Ziad bin Bistom. Beliau bukanlah berketurunan arab, cumanya beliau menjadi wala' (dan dianggap sebahagian daripada) Bani Mur (satu kabilah arab). Kerana inlah beliau digelar al-Murri.
Dilahirkan dan dibesarkan di Baghdad. Dan beliau merupakan salah satu tokoh muhaddisin yang agong. Dilahirkan di Baghdad pada 158H, dan membesar di situ. Mula menulis ilmu-ilmu ketika usianya belum mencecah sepuluh tahun. Ayahnya merupakan salah seorang pegawai yang hebat kepada Abdullah bin Malik, pembesar ar-Ray (nama kawasan). Ayahnya meninggalkan pusaka untuknya sebanyak satu juta darham, dan kesemuanya itu habis dibelanjakannya untuk mencari dan mempelajari hadis sehinggalah sampai kepada tahap yang mana beliau tidak mempunyai selipar untuk dipakai.
Beliau pernah mengambil hadis daripada Abdullah bin al-Mubarak, Husyaim bin Basyir, Ismail bin Iyash, Sufyan bin Uyainah, Abdul Razaq as-Son'ani di Yaman, Waki' bin al-Jarrah, Yahya bin Said al-Qattan, Abdul Rahman bin Mahdi dan ramai lagi, samada di Iraq, Syam, Semenanjung Arab, Mesir dan Hijaz. Antara yang mengambil hadis daripada beliau pula ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Dawuud, Abbas ad-Duriy al-Baghdadi yang merupakan periwayat ilmunya, Abu Zur'ah ar-Rozi, Abu Hatim ar-Rozi, Usman bin Said ad-Darimi, Abu Ya'la al-Mausili dan ramai lagi yang tidak terhitung ramainya.
Ibnu Ma'in menulis satu juta hadis dan menulis satu hadis yang sama sebanyak lima puluh kali.
Berkata Ali bin al-Madini: "Kemuncak ilmu manusia terhenti pada Yahya bin Ma'in. Berkata Abdul Khaliq bin Mansur: “aku pernah berkata kepada Abdullah bin ar-Rumi: aku mendengar beberapa rang yang mengambil (belajar) hadis daripada Yahya bin Main mengatakan bahawa : “telah menceritakan kepada kami oleh seorang yang tidak pernah terbit matahari kepada seorang yang lebih hebat daripadanya” (mereka maksudkan ialah Yahya bin Ma'in.), lalu Abdullah bin ar-Rumi menjawab kepadaku: “adakah engkau merasa hairan (dengan gelaran tersebut)”? Aku sendiri pernah mendengar bahawa Ali bin al-Madini menyatakan bahawa: “Aku tidak pernah melihat manusia sehebatnya, dan kami tidak tahu seorang pun semenjak Nabi Adam lagi yang menulis hadis sebanyak apa yang ditulis oleh Yahya bin Ma'in”. Berkata Muhammad bin Nasr al-Marwazi: “aku pernah mendengar Yahya bin Ma'in menyatakan : "aku telah menulis dengan tanganku ini satu juta hadis". Berkata Imam az-Zahabi: "Yang beliau maksudkan dengan bilangan yang begitu banyak ini ialah beliau mengulang-ngulang menulis satu hadis yang sama. Tidakkah kamu lihat yang mana beliau pernah nyatakan bahawa: "Kalaulah kami tidak menulis sesuatu hadis itu sebanyak lima puluh kali, nescaya kami tidak akan kenal (hafal) hadis tersebut".
Semua hadis yang tidak dikenali oleh Yahya bin Ma'in bukanlah Hadis.
Imam Ahmad bin Hanbal berkata: "Mana-mana hadis yang tidak diketahui Yahya bin Ma'in, maka sebenarnya ia bukanlah hadis. Memang Allah SWT ciptakan beliau untuk perkara ini (hadis), kerana itulah beliau mampu menjelaskan pembohongan para pemalsu hadis". Berkata Abu Hatim ar-Razi: "Kalaulah kamu melihat seorang Iraq yang menyayangi Ahmad bin Hanbal, maka ketahuilah bahawasanya orang itu adalah ahli sunnah, dan jika kamu melihat seorang Iraq yang membenci Yahya bin Ma'in, maka ketahuilah bahawasanya orang itu adalah pembohong (pereka hadis palsu)".
Metodologi Pengajian Yahya bin Main Dalam Ilmu Hadis
Ibnu Ma'in berkata: "Bila kamu belajar dan menulis hadis, maka tuliskanlah apa sahaja yang kamu dengar (supaya kamu juga dapat mengetahui hadis-hadis palsu), tetapi bila kamu mengajar hadis, maka selidikilah (pastikan hanya hadis sohih sahaja yang kamu ajari itu)". Manhaj yang dibawa oleh Yahya bin Ma'in merupakan manhaj terbaik dalam mencari ilmu dan menyebarkannya. Kata-katanya tadi meupakan perlembagaan yang diambil oleh para muhaddisin dan para ulamak dalam mencari dan menyebarkan hadis.
Banyaknya kitab-kitab yang ditinggalkan oleh Yahya bin Ma'in
Al-Hafiz Solih bin Ahmad mendengar daripada Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah berkata: ayahku menyatakan bahawa Yahyan bin Main telah meninggalkan sebanyak 114 rak buku dan 4 bakul kayu yang penuh berisi kitabnya.
Ibnu Ma'in sentiasa menghalau pembohongan dan pemalsuan terhadap Nabi s.a.w.
Yahya bin Ma'in ini bila mana beliau mengerjakan haji, beliau akan ke Mekah melalui jalan Madinah, dan bila pulang daripada Mekah pun, beliau akan pulang melalui jalan Madinah. Ketika mana beliau keluar mengerjakan haji pada tahun 233H, beliau sampai di Madinah sebelum mengerjakan haji, iaitu pada penghujung bulan zulqaedah. Dan beliau ditimpa sakit serta meninggal pada 23 zulqaedah. Maka orang ramai saling memberitahu mengenai kedatangan beliau dan kematian beliau. Keluarga Bani Hasyim pula mengeluarkan kayu /katil tempat di mana Rasulullah s.a.w. dimandikan. Dan beliau dimandikan di atasnya, Dan sesudah selesai sembahyang jenazah, beliau dikuburkan di perkuburan Baqi'. Para hadirin saling menyebut-nyebut bahawa inilah dia orangnya yang sentiasa menghalang pemalsuan terhadap Nabi s.a.w
Artikel ini adalah secebis terjemahan yang dibuat oleh Ustaz TMSTI, daripada kitab “Nilai Masa Di Sisi Ulamak” 
http://tasekpauh.blogspot.com/2007/02/tokoh-hadis-imam-yahya-bin-main.html