Pages

Jun 4, 2011

Rintangan di atas jalan dakwah.

   Setiap daie dan mereka yang bercita-cita untuk melihat Islam kembali memimpin dunia ini haruslah mengetahui dan menyedari bahawa keadaan dunia dan negara kita pada hari ini diancam oleh berbagai permasalahan.Namun permasalahan yang paling besar adalah apabila manusia khususnya mereka yang bergelar muslim tidak mengenal akan tuhan mereka dan tidak mengamalkan islam secara menyeluruh.
  
Sebenarnya kita yang telah ditarbiah  dan memahami Islam secara syumul ini perlu simpati kepada mereka bukannya kita membenci dan menyalahkan mereka.Mereka ini masih dalam keadaan lena dan tidak memahami.Ibaratnya seorang budak kecil yang bermain dengan kotoran kerana dia tidak mengetahui akan bahayanya.Budak kecil ini mestilah selalu diperhatikan dan dibimbing agar mereka terus berjalan diatas jalan yang benar dan supaya mereka juga dapat berdikari dan menyeru orang lain juga.

Oleh kerana kebanyakan manusia yang tidak mengetahui ini,apabila kita menyeru mereka kepada Allah,mereka seolah-olah menolak pada permulaannya kerana mereka masih tidak tahu.Jangan menyerah,mungkin apabila mereka mendapat seruan kita,namun kemudiannya mendapat hidayah melalui jalan dan pendakwah yang lain.

Manusia biasanya merasa berat dan kelihatan menolak pada permulaan kerana dakwah ini menyeru kepada sesuatu yang berlawanan dengan hawa nafsu manusia.Jadi kerja ini memang susah dan memerlukan kesabaran.Rasulullah telah menunjukkan qudwah dan teladan yang baik dalam hal ini.

Hal ini juga tidak pelik kerana hal yang sama berlaku kepada nabi Allah Nuh AS apabila umatnya tidak menerima seruannya,malah menutup telinga dan pakaian mereka walaupun nabi Nuh mengajak kepada mereka siang dan malam.Sebaliknya apabila nabi Yunus meninggalkan kaumnya,Allah telah mencampakkannya ke dalam perut ikan Nun.Ini adalah pengajaran kepada kita supaya bersabar dan tidak putus asa dalam menyeru manusia kepada kebaikan.

Kewajipan kita sebagai mu’min adalah menyampaikan islam dan kebaikan kepada manusia di dalam lingkungan kita.Kita tidak wajib mendapat hasil yang cemerlang namun yang wajib adalah usaha yang berkualiti dan berterusan.

Firman Allah:

“Tidak ada kewajipan Yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan (perintah-perintah Allah) sahaja dan Allah sentiasa mengetahui apa Yang kamu lahirkan dan apa Yang kamu sembunyikan.”[al-Maidah:99]

Dakwah bukan sekadar melepaskan tanggungjawab,tetapi lebih dari itu.Ia adalah kasih sayang dan cinta kita kepada manusia yang lain.Oleh kerana itu rasulullah tidak jemu-jemu mendoakan kepada orang yang menolak islam supaya mereka mendapatkan hidayah.Jangan abaikan kuasa doa sebagai senjata orang mukmin.

Kata Imam as-syahid Hasan al-Banna:Jadilah kamu manusia yang seperti pohon buah-buahan,apabila dilempari dengan batu,pohon itu bahkan melempari manusia dengan buah-buahan.

Oleh itu,bersabarlah menghadapi rintangan di atas jalan ini,kerana tanpa rintangan ia bukanlah perjuangan.Moga-moga Allah menetapkan kita di atas jalan ini.Apa yang kita lakukan hari ini sebenarnya untuk diri kita juga.

Firman Allah:
“Dan sesiapa Yang berjuang (menegakkan Islam) maka Sesungguhnya Dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri,Sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk”.[al-ankabut:6]




No comments:

Post a Comment