Pages

Jul 9, 2012

GENERASI QURAN IN MAKING



              Tarbiah yang diterapkan oleh rasulullah merupakan tarbiah yang didasari oleh al-Quran.Rasulullah telah mendidik sahabatnya tentang al-Quran dan kandungannya sehingga mereka menjadi satu kaum yang melakukan perubahan yang amat  besar kepada pembaikan umat manusia.

               Bilal bin Rabbah setelah dibacakan ayat al-quran,faham dan mengetahui bahawa Allah adalah tuhan yang esa yang tidak layak dipersekutukan.Walaupun diseksa dan dijemur di bawah panas terik matahari namun dia tetap teguh dan kental dengan pendiriannya mentauhidkan Allah.

               Begitu juga dengan kisah Fatimah adik kepada Umar al-Khatab yang diancam dan diugut olehnya abangnya Umar al-Khatab untuk keluar daripada agama Islam,namun dia tidak berganjak daripada pendiriannya,malah Umar al-Khatab pula tertarik dengan agama islam setelah dibacakan ayat quran dalam surah Thaha.

               Khubaib bin ‘Adi yang telah ditangkap oleh golongan pengkhianat dalam satu ekspedisi dakwah yang dihantar oleh Rasulullah,kemudian telah dijual kepada orang kafir Quraish yang kemudiannya telah menyalibnya.Sebelum disalib,Abu Sufyan menawarkan untuk melepaskannya dengan syarat Rasulullah saw menggantinya.Namun ternyata,beliau tidak rela,walaupun jika rasulullah tertusuk duri sekalipun.

                Generasi ini sungguh unik.Mereka menjadikan Al-quran sebagai handphone mereka.Mereka bawa di dalam hati dan di lembaran-lembaran kertas dan mempraktikkan prinsip-prinsip dan perintahal- quran dimana-mana.Al-quran seolah-olah hidup dalam jiwa mereka.Mereka inilah generasi al-Quran yang terbina daripada asuhan dan tarbiah Rasulullah saw.

                As-Syahid Syed Qutub telah menulis dalam kitabnya  maa'lim fit-tariq, bahawa para sahabat baginda adalah generasi Al-Quran terbaik yang pernah lahir di tengah umat manusia. Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 110:


"Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk  umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)".
  
                 Syed Qutub melontarkan persoalan kenapa generasi al-quran yang sebenarnya belum muncul pada hari ini?, sedangkan Al-Quran dan hadis masih berada di tangan umat Islam dan ianya tetap terpelihara seperti zaman sebelumnya?.


                 Beliau memberikan jawapan bahawa generasi Al-Quran hanya akan dapat dilahirkan kembali apabila umat Islam memiliki dan melaksanakan tiga langkah seperti yang dilakukan oleh Nabi dan di kalangan generasi sahabat terdahulu. Langkah-langkah tersebut ialah:


                  Pertama : Umat Islam perlu mencintai Al-Quran dan menjadikannya sebagai satu-satunya sumber rujukan dalam kehidupan. Ini bermakna, Al-Quran harus ditanam dalam hati dan fikiran, serta menjadi roh dalam setiap nafas kehidupan.


                 Kedua :Umat Islam hendaklah memiliki ketaatan yang tidak berbelah bagi terhadap perintah-perintah Allah dalam Al-Quran. Al-Quran mestilah dipelajari tidak hanya untuk menjadi bahan kajian dan diperdengarkan bacaan semata-mata, tetapi benar-benar untuk dilaksanakan. Syed Qutub menjelaskan, Al-Quran perlu disatukan dalam jiwa raga umat Islam dan digunakan dalam kehidupan mereka. Al-Quran tidak sepatutnya hanya tersimpan dalam karya-karya ilmiah semata-mata, tetapi ia mesti difahami dan diamalkan.


                  Ketiga:Syed Qutub turut menegaskan bahawa umat Islam hendaklah meninggalkan jahiliah moden termasuk cara hidup serta pemikirannya.


                  Kuncinya adalah baca quran untuk buat!!!


                Pernahkah anda membeli buku resipi masakan?Apa yang anda lakukan dengan buku tersebut?Sudah tentu untuk melihat resipi yang kemudiannya akan dimasak di dapur.Begitu juga dengan al-Quran.Generasi sahabat melihat al-Quran bukan sekadar Kitab ilmu,buku sains,novel,buku cerita atau buku sejarah,bahkan mereka menggangap al-quran adalah manual dan panduan yang perlu diamalkan dalam kehidupan mereka.


                 Generasi al-quran hari ini mula mendapat perhatian ramai pihak.Mereka bercita-cita mewujudkan kembali golongan ini.Namun usaha masih perlu diteruskan.Kita tidak mahu berpuas hati dengan pusat-pusat tahfiz yang bertebaran ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan yang menekankan penghafalan dan tidak menekankan aspek pemahaman yang seterusnya akan membawa kepada pengamalan dalam kehidupan.Kita juga tidak cukup dengan mempopularkan pengajian-pengajian tarannum dan Qiraat namun juga perlu memfokuskan kepada pengajian tafsir dan tadabbur al-quran serta menanam kefahaman kandungan al-quran kepada masyarakat dengan konsep yang lebih mesra dan menarik.Kita juga bimbang mereka yang menggunakan al-quran hanya semata-semata untuk meneruskan kehidupan dan sebagai periuk nasi dan tidak ada agenda perubahan dan alat berdakwah kepada masyakat.


                    Setiap pihak perlu mengambil peranan dalam membina generasi al-Quran.Apa yang perlu diingat adalah setiap orang mampu menyampaikan pengajaran-pengajaran di dalam al-Quran.Tidak perlu menjadi alim dan pakar dahulu sebelum dapat menyampaikan.Rasulullah amat menggalakkan kita menyampaikan ilmu walaupun sedikit,namun nilainya di sisi Allah amat besar.Dalam hadis juga disebut bahawa “sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan dia mengajarkan kepada orang lain”.Jadi sebaik-baik orang yang belajar al-Quran adalah orang yang mengajarnya kembali kepada orang lain.


                   Jadi,apa yang boleh kita buat mungkin adalah dengan menjadikan rutin pembacaan al-Quran dan terjemahannya serta tadabbur ringkas bermula dari rumah kita kemudian ke sekolah-sekolah serta majlis-majlis sebagai usaha mudah yang boleh mendidik masyarakat secara menyeluruh.Kita juga boleh menghidupkan masjid dengan kelas-kelas pengajian al-Quran dalam bentuk yang menarik dan menekankan akidah serta akhlak sebagai tujuan akhir penyampaian.Penyampaian dalam bentuk permainan,pembentangan media,nyanyian,perkhemahan,tafakkur alam dan sebagainya yang dekat dan disukai oleh manusia sebagai cara untuk kita mendekati dan mengenalkan manusia dengan Allah.


                  Oleh itu,generasi al-Quran dengan izin Allah akan terwujud kembali.Kita sudah melihat umat islam di Palestin yang rata-ratanya menghafal al-Quran dan mereka amat merindukan mati syahid,sehinggakan mereka amat berbangga jika ada dalam keluarga mereka seseorang yang bergelar syuhada’.Moga Allah memudahkan kita untuk beramal dan menganugerahkan keikhlasan kepada kita.Amin